Tidak sah sembahyang tanpa tomakninah

SOALAN:

Di masjid tempat saya berjemaah ada seorang tua pertengahan umur yang sembahyang sunat tidak ada tamakninah, terutama ketika iktidal. Belum lagi dia menegakkan badan, dia terus melakukan sujud. Hati saya sering berkata-kata, ``alangkah ruginya orang ini kerana tidak sah sembahyangnya.''

Saya seakan-akan tidak khusyuk kerana terlalu berkeinginan memastikan yang pandangan saya tidak silap, iaitu memerhatikannya setiap kali dia sedang sembahyang tanpa tamakninah. Siapakah yang sepatutnya menegur beliau? Saya takut dia akan berkecil hati kalau saya menegurnya, kerana dia telah tua dan selalu berjemaah di masjid. - Amir Hamzah, Selangor.

JAWAPAN:

Baginda Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Barang siapa berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia berdiri melakukan sembahyang, maka dia hendaklah menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan bacaan padanya.

Maka sembahyang itu berkata: Semoga Allah memelihara akan dikau seperti engkau telah memelihara akan daku. Kemudian sembahyang itu dibawa ke langit dengan sinar dan cahaya, maka dibuka untuknya pintu-pintu langit, sehingga sampai kepada Allah, lalu ia meminta ampun bagi orang yang melakukan sembahyang tadi. Sebaliknya, jika tidak sempurna rukuk, sujud dan bacaannya, maka sembahyang itu berkata: Semoga Allah mengabadikan dikau seperti kau abadikan akan daku. Kemudian ia dibawa naik ke langit, diliputi oleh kegelapan sehingga sampai ke langit, maka tertutuplah semua pintu langit baginya, kemudian dilipat sembahyang itu bagaikan baju yang kusut kumal, lalu dipukulkan dengannya ke muka tuannya.Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu selain berupaya membentuk peribadi yang baik, ia juga memberi manfaat kepada tuannya biarpun ketika tuannya masih hidup. Ibadah sembahyang yang dimaksudkan di sini, ialah sembahyang yang sah dan diterima oleh Allah.

Perlu dijelaskan bahawa tamakninah adalah salah satu daripada rukun sembahyang, tanpanya sembahyang seseorang itu tidak sah. Sembahyang yang tidak sah tidak memberi manfaat kepada tuan punya diri. Baginda menyuruh setiap orang yang sembahyang itu melakukan sembahyang sama seperti sembahyang yang dilakukan oleh baginda. Ketika rukuk, baginda meletakkan kedua-dua telapak tangannya di atas lutut, kemudian merenggangkan jari-jari dan menunggu sebentar, sehingga setiap anggota itu berada di tempat masing-masing. Menunggu sebentar yang dimaksudkan di sini ialah tamakninah. Pada suatu ketika baginda melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya, iaitu tanpa tamakninah. Baginda bersabda: Sekiranya orang ini mati dalam keadaannya begini, nescaya dia mati luar daripada agama Muhammad. Dia mematuk sembahyangnya seperti gagak mematuk darah. Perbandingan orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya dengan cara mematuk itu adalah seperti orang yang lapar, yang memakan sebiji atau dua biji tamar, yang tidak mengenyangkan daripada sesuatu.

Baginda juga menjelaskan bahawa sesungguhnya tidak diperkira sembahyang seseorang yang tidak menegakkan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.Begitu juga halnya ketika iktidal, seseorang itu hendaklah melakukan tamakninah. Tidak sah sembahyang seseorang tanpa melakukan tamakninah ketika iktidal. Mengenai tamakninah pada iktidal, baginda bersabda: Apabila engkau telah mengangkatkan kepala, maka tegakkanlah tulang belakang kamu dan angkat kepala sehingga tulang-tulang kembali atau berada di sendinya. Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawa kekasihnya iaitu Rasulullah s.a.w. melarangnya mematuk-matuk ketika sembahyang seperti patukan ayam. Baginda juga melarang seseorang itu berpaling, seperti palingan musang dan duduk seperti duduk kera. Baginda bersabda: Sejahat-jahat curian manusia itu ialah orang yang mencuri sebahagian daripada sembahyang. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah manusia boleh mencuri sebahagian daripada sembahyang. Baginda menjawab: Orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.

Juzuk

Jelasnya, tamakninah adalah salah satu daripada rukun sembahyang yang mesti dilakukan. Rukun menurut bahasa bererti juzuk atau tiang bagi sesuatu objek. Apabila ia merujuk kepada ibadah sembahyang ia adalah merujuk kepada juzuk-juzuk yang tersusun daripadanya hakikat sembahyang.

Tamakninah pula bererti tenang dan tetap tanpa bergerak, tidak bergoncang atau tidak bergegar. Yang dimaksudkan dengan tamakninah di sini ialah diam selepas bergerak dan tetap anggota sekira-kira ada perenggan antara dua kelakuan. Tamakninah adalah syarat sah bagi rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Tanpa tamakninah bererti sem bahyang seseorang itu tidak sah. Ada beberapa tempat dalam sembahyang yang mesti ada tamakninah, iaitu ketika rukuk, yang mesti dilakukan pada setiap rakaat, iaitu dengan membongkokkan badan, sambil menundukkan kepala dan dua tapak tangan diletakkan di atas lutut. Begitu juga ketika iktidal, iaitu ketika bangun kembali kepada qiyam (berdiri) sebelum. Begitu juga ketika melakukan sujud dua kali pada setiap rakaat, iaitu dengan meletakkan dahi di atas tempat sembahyang. Rukun lain yang mesti disertakan dengan tamakninah ialah ketika duduk antara dua sujud.

Asma binti Abu Bakar berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Apabila seorang hamba itu masuk di dalam kuburnya, maka sekiranya dia seorang Mukmin, dia akan dipagari oleh amalannya, sembahyang dan puasa. Maka datanglah malaikat dari arah sembahyang tadi, lalu ditolak akan dia, dan datang dari sebelah puasa maka puasa menolak akan dia, maka ia mendatanginya lalu menyeru: Duduk, maka duduklah manusia tadi.

Maka ia pun bertanya kepada amalan: Apakah yang engkau katakan tentang lelaki ini? Amalan itu bertanya siapa? Lantas ia menjawab: Aku naik saksi sesungguhnya dia adalah Rasulullah. Baginda bersabda: Maka malaikat itu pun berkata: Atas dasar demikianlah engkau hidup dan di atasnyalah engkau mati dan di atasnya engkau dibangkitkan. Allah berfirman menyatakan bahawa sembahyang mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Berdasarkan hadis-hadis di atas, juga firman Allah yang terakhir ini ternyata bahawa sembahyang yang dilakukan oleh seseorang hamba itu memberi manfaat kepada diri pelakunya ketika seseorang itu masih hidup juga ketika mati. Perlu difahami bahawa sembahyang yang memberi manfaat yang dimaksudkan di sini ialah sembahyang yang sah hukumnya, iaitu apabila seseorang hamba itu berupaya melakukan sembahyang itu dengan sempurna atau menepati syarat dan ketentuannya, iaitu memenuhi segala keperluan rukun sembahyang.

Begitu juga dengan pembentukan peribadi yang luhur terjadi hasil daripada ibadah sembahyang yang sah dan diterima Allah. Sembahyang yang tidak diterima oleh Allah tidak berupaya membentuk peribadi murni. Di antara petunjuk sembahyang yang tidak sah itu ialah sembahyang yang tidak disertai dengan tamakninah. Kerana itulah maka ramai orang yang melakukan ibadah sembahyang, tetapi di luar sembahyang orang yang berkenaan tetap melakukan kejahatan dan kemungkaran seperti mengambil riba, makan rasuah, pecah amanah, memakan harta anak yatim dan sebagainya. Kecenderungan saudara memerhatikan orang lain sembahyang tanpa tamakninah memang mempunyai alasan. Terfikir oleh akal bagaimana seorang yang telah berumur boleh melakukan sembahyang tanpa tamakninah. Kalau umurnya menjangkau 50 tahun misalnya dan sembahyang yang dilakukan tanpa tamakninah, maka sembahyang yang dilakukan menjadi sia-sia. Walaupun demikian, apa yang saudara lakukan itu tetap mengubah rasa khusyuk ketika sembahyang. Saudara sewajarnya menumpukan pengamatan kepada Allah yang disembah. Memang saudara ada alasan berbuat demikian, tetapi alasan itu ditambah lagi oleh gesaan syaitan agar saudara memerhatikan hal seumpama ini berulang kali, menyebabkan konsentrasi saudara berada di luar sembahyang biarpun diri saudara tetap dalam sembahyang.

Baginda ada bersabda: Bahawa apabila seseorang itu sembahyang, maka janganlah kamu berpaling muka, mengangkat pandangannya ke langit, ke kanan atau kiri. Sesungguhnya Allah mengarahkan mukanya ke muka hamba-Nya ketika hamba itu bersembahyang, selagi dia tidak berpaling. Setiap orang berhak menegur saudaranya yang melakukan kesilapan apatah lagi sekiranya ia melibatkan ibadah seperti ini. Bagi orang yang ditegur pula, andainya dia seorang yang bijak, selalu datang berjemaah, dia akan banyak berterima kasih apabila diperbetulkan. Walaupun demikian tidak semua orang dapat menerima teguran walaupun niat orang yang menegur itu baik. Kerana itu setiap orang perlu berhati-hati untuk berbuat demikian.Dalam keadaan seumpama ini, imam adalah orang yang lebih utama untuk membetulkan atau menegurnya kerana dia adalah ketua bagi sebuah masjid biarpun tidak dapat dinafikan orang lain juga berhak berbuat demikian. Selain daripada itu guru yang memberi kuliah di masjid perlu menegur kesilapan orang lain. Dalam keadaan apa sekalipun, memang ada orang yang terus melakukan sembahyang tanpa tamakninah terutama ketika iktidal, biarpun telah diberitahu dan diperingatkan berulang kali.

1 hit:

Mohd Khir said...

SubhanAllah...
sy selalu konfius dgn perbuatan tomakninah dlm solat ni. ada yg ajar perlu duduk sebentar setelah bangun dr sujud kedua rakaat ptama & ke3 selain setelah iktidal.
tp keadaan kaki yg x kuat/sakit sy x dpt buat. hanya dpt diam seketika setelah sujud tu.

jd sekarang dh jelas. x perlu duduk. x dinyatakan utk duduk pun walhalnya. cuma berdiam seketika setelah meletak sgl anggota pd tempatnya dan sejurus itu dmulakan bacaan dlm perbuatan tersebut. betulkan ust...

Alhamdulillah. baru faham sepenuhnya. tqsm
Semuga Allah merahmati kita suma & membalas pahala yg berlipat kali ganda bg para ust yg mengajari & menjelaskan....

Post a Comment